TIPS MUDAH TABUNG KECEMASAN (SIRI 2)

Bolehkah ambil personal loan letak di Tabung Kecemasan?

Perkara ini sangat tidak digalakkan sama sekali untuk digunakan sebagai Tabung Kecemasan. Kerana jika kita membuat pembiayaan, ia bermaksud kita sedang berhutang. Kedua, jika kita jatuh sakit dan tidak boleh bekerja, pendapatan tidak akan diperolehi di mana kita tidak boleh membayar pembiayaan tersebut. Ia umpama kita membuat pembiayaan untuk membayar pembiayaan.

3 CARA MEMBINA TABUNG KECEMASAN

1. Sediakan pelan tindakan

Bagi memastikan pelan anda untuk membina tabung kecemasan berjalan dengan jayanya, anda perlu terlebih dahulu mempunyai pelan pengurusan kewangan peribadi yang rapi. Pelan perancangan ini yang akan menjadi panduan untuk anda mencapai matlamat kewangan anda. Pelan perancangan yang terbaik adalah yang mempunyai sasaran kewangan yang jelas.  Sebagai contoh, anda menabung RM50 setiap minggu di akaun simpanan.

2. Menyemai ‘benih’ kewangan

Apabila sudah ada pelan kewangan, pastikan anda mengikut pelan tersebut tanpa kompromi. Jangan sesekali tersasar daripada matlamat. Pertama sekali, anda perlu menilai pendapatan bersih anda. Memisahkan jumlah perbelanjaan keperluan asas serta perbelanjaan berulang daripada pendapatan bersih. Melalui jumlah baki pendapatan anda, ambil kira-kira 10% untuk dijadikan ‘benih’ dana kecemasan. Pastikan anda semai ‘benih’ 10% ini setiap bulan untuk memastikan tabung kecemasan anda bertambah dengan konsisten dan banyak.

3. Rancang dan kawal perbelanjaan dengan teliti

Dalam memastikan kewangan anda dalam keadaan lancar, anda perlu berfikiran seperti ahli perniagaan. Semua perbelanjaan harus diambil kira dan sebolehnya merekod setiap perbelanjaan tersebut. Pastikan anda tidak terlebih belanja dengan membeli barangan bukan keperluan keutamaan atau berbelanja mengikut nafsu.