APA ITU MUFLIS?
Anda pernah dengar dan tahu apa itu muflis atau erti kata lain bankrup? Ia merupakan proses dimana penghutang (individu yang berhutang wang kepada pemiutang) diisytiharkan muflis berikutan arahan mahkhamah yang dikenali sebagai Perintah Penghukuman dari Mahkhamah Tinggi terhadap individu tersebut. Muflis atau bankrup ini adalah satu perkara yang disegani ramai penghutang di Malaysia. Ia biasanya merujuk sebagai keadaan yang sangat tidak bernasib baik.
Terdapat beberapa kriteria yang akan menyebabkan seseorang individu itu diisytiharkan muflis di Malaysia:
- Tidak berupaya untuk melangsaikan hutang berjumlah tidak kurang daripada RM50,000
- Tidak membayar hutang melebihi tempoh masa enam bulan
- Individu yang menetap di Malaysia sekurang-kurangnya selama setahun.
Seseorang individu juga boleh diisytiharkan muflis tanpa pengetahuan apabila:
- Dokumen undang-undang telah dihantar ke alamat lama
- Pengisytiharan muflis diserahkan melalui prosedur penyampaian ganti
- Individu tersebut tidak hadir ke mahkamah
- Individu tersebut tidak menerima atau tidak membuka dokumen undang-undang yang telah dihantar kepadanya
Kalau anda semua nak tahu, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM), seramai 10,317 individu telah diisytiharkan muflis sejak pandemik COVID-19 melanda Malaysia bermula Mac 2020 yang lalu. Negeri Selangor telah merekodkan individu paling ramai direkodkan muflis iaitu seramai 2,555 orang manakala Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pula merekodkan seramai 1,288 orang muflis dalam tempoh tersebut.
Anda pernah terfikir sebab kenapa seseorang itu boleh muflis atau bankrup? Mungkin anda fikir perniagaan mereka merosot dan tidak ada keuntungan. Ataupun mereka itu seorang yang suka membeli barangan mewah luar daripada kemampuan mereka lalu mengumpul hutang dari kad kredit.
Sebenarnya, majoriti kes muflis di Malaysia menurut data JIM salah satunya adalah disebabkan oleh pembiayaan kereta (36%), diikuti dengan pembiayaan perumahan (26%), pembiayaan peribadi (24%), dan pembiayaan perniagaan (14%).
Jadi, anda perlu berhati-hati apabila anda melaksakanan pembiayaan dari bank atau mana-mana dan pastikan anda mampu membayar balik hutang dengan ansuran bulanan. Jika hidup anda secara tiba-tiba menghadapi kesusahan untuk membayar balik hutang, anda boleh mempertimbangkan jalan penyelesaian hutang seperti penyatuan hutang (overlap) atau penstrukturan semula hutang.