TIPS MUDAH TABUNG KECEMASAN (SIRI 1)
Pernah tak anda terfikir, apa akan berlaku sekiranya anda tiba-tiba jatuh sakit dan perlu melakukan pembedahan yang memerlukan belanja sebanyak RM20,000? Anda mungkin beruntung jika mempunyai takaful, insuran atau tabung kecemasan.
Namun, bayangkan kalau semua ini tiada? Bagaimana anda hendak menampung kos pembedahan tersebut? Jadi, sebab itu pentingnya membuat simpanan untuk situasi kecemasan seperti ini. Tabung kecemasan ini yang akan membantu anda sewaktu kesusahan suatu hari nanti. Ramai di antara kita yang salah faham tentang Tabung kecemasan. Hari-hari simpan duit tetapi tiada simpanan khas untuk Tabung kecemasan.
Apa itu Tabung kecemasan?
Tabung kecemasan ialah tabung yang digunakan untuk kecemasan. Anda disarankan untuk memperuntukkan Tabung kecemasan dari 3 bulan jumlah pendapatan hingga 6 bulan jumlah perbelanjaan atau bergantung kepada diri sendiri. Seperti pepatah melayu sediakan payung sebelum hujan yang membawa maksud berwaspada sebelum ditimpa kesusahan.
Contohnya apabila berlaku kemalangan, hilang pekerjaan, kereta rosak, jatuh sakit dan sebagainya. Kos yang perlu dikeluarkan adalah melebihi pendapatan yang kita perolehi setiap bulan. Ia juga mudah untuk dikeluarkan dan senang untuk membayar apa yang diperlukan.
Setiap orang mempunyai jumlah simpanan dan kemampuan yang berbeza. Tidak salah untuk mendengar pendapat dan mempelajari cara menyimpan duit daripada sifu kewangan ataupun daripada orang yang berpengalaman, tetapi pastikan ianya berada dalam kemampuan anda. Simpan duit mengikut keperluan dan kemampuan, bukan semata-mata mengikut nasihat kewangan yang trending sahaja.
Dimana perlu letak atau simpan wang tersebut?
Wang-wang untuk Tabung kecemasan tersebut perlu diletakkan atau disimpan di tempat yang berisiko rendah, tidak ada kenaikan atau penurunan yang mendadak, ‘liquid’ atau cair serta mudah untuk membawa keluar wang pada bila-bila masa.
Selain itu, kita juga tidak boleh meletakkan atau menyimpan wang tersebut di tempat yang boleh menyebabkan kita untung 20% dan juga rugi 20% kerana jika kita menggunakannya ketika kecemasan kita akan rugi. Sebagai contoh, antara tempat-tempat yang disyorkan untuk menyimpan wang ialah seperti di Akaun Simpanan, Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Malaysia (ASM)
Ada juga yang bertanya adakah ASB Financing juga sesuai untuk tabung kecemasan? Jawapannya ialah tidak. Ia hanya sesuai untuk pelaburan sahaja. Dan ada juga mereka yang bertanya adakah Unit Trust, emas dan saham juga sesuai? Bagi emas ianya tidak sesuai kerana harga emas akan turun naik.